Tuesday, March 22, 2011

TANGISAN MESIR DI KOTA FRANKFURT

TANGISAN MESIR DI KOTA FRANKFURT

08 Feb 2011
 
 
Permulaan situasi Barisan Pemuda Mesir menyusun tunjuk perasaan

 

Pada hari Sabtu, 5 Februari 2011, saya pergi ke Dom Romer, suatu daripada lokasi  destinasi pilihan pelancong yang berkunjung ke Kota Frankfurt, Germany. Lokasi ini mempunyai beberapa muzium penting seperti Muzium Sejarah, Muzium Patung dan Muzium Arkitektur dan banyak lagi. Lokasi ini juga merupakan tempat jualan barangan cenderamata Frankfurt. Justeru tempat ini cantik, berhampiran Sungai Main, mempunyai bangunan-bangunan antik dan unik, juga mempunyai dataran yang luas, maka lokasi ini menjadi tumpuan ramai jika mahu menganjurkan tunjuk perasaan, samalah seperti fungsi High Park di Kota London, United Kingdom.
Saya sangat gembira kerana setelah keluar dari Guesthouse, University of Frankfurt sekitar pukul 11.00 pagi, matahari bersinar begitu ceria, meskipun angin kencang dengan suhu dingin sekitar 3 darjah Celcius. Saya mengambil tram nombor 16 dari Kampus Bockenheimer Warte ke Central Station di Haufbanholf kerana pada hari Sabtu, surburban train dari Bockenheimer Warte akan bergerak pergi balik hingga ke Central Station di Haufbanholf sahaja. Apabila naik tram, kita boleh turun di Central Station dan terus mengambil tram nombor 11 ke Dom Romer. Sesampai sahaja di Dom Romer, orang begitu ramai di situ, tetapi hanya duduk-duduk sahaja. Saya terus ke Sungai Main, melihat merpati, burung camar dan angsa. Ramai pelancong terpesona melihat burung-burung putih dan kelabu yang cantik di pinggir Sungai Main. Ramai pengantin baru gemar datang dengan jurugambar mereka untuk merakamkan foto perkahwinan yang cantik berlatarbelakangkan angsa putih yang besar dan cantik terapung-apung di atas permukaan air.
Asyik juga di situ hingga memakan masa lebih daripada  satu jam.  Apabila kembali ke kawasan lapang di Dom Romer, kelihatan sebuah lori besar bersambung dengan sebuah pentas yang ditarik keluar daripada perut lori tersebut. Ramai sekali orang di atas pentas itu, termasuklah kanak-kanak kecil. Ramai sekali masyarakat dari Iraq sedang menyusun strategi untuk memulakan tunjuk perasaan. Paling saya terpesona adalah pada lagu yang dijeritkan oleh seorang pemuda dari atas lori, yang diksinya ada nama “Mubarak… Mubarak!”. Setiap kali dia tamatkan nyanyiannya, disambut oleh suara lelaki, perempuan dan kanak-kanak dengan begitu teratur, seolah-olah coral speaking.
Sebenarnya, memang sukar untuk mengenal manusia di Frankfurt ini dari keturunan apa, sebab wajah  orang Iraq, Mesir, Turki atau bangsa Arab yang lainnya hampir seiras sahaja dengan wajah orang Germany. Kita cuma boleh menjangka mereka beragama Islam daripada ucapan salam yang dituturkannya ataupun apabila yang wanitanya memakai jilbab atau menutup kepalanya. Namun, sebahagian daripada mereka sudah tidak bertudung lagi. Kalau kita ke Rom, masalah pengecaman ini lebih jelas kerana wajah dan warna kulit orang Rom, hampir benar dengan wajah bangsa Arab.
Barisan penunjuk perasaan berbangsa Mesir di Dom Romer
Lama juga saya di Dom Romer ini, mengambil gambar dan berbual dengan seorang dua penunjuk perasaan yang kelihatannya seperti gadis pelajar di universiti. Tekaaan saya tidak meleset kerana kebanyakan daripada mereka yang muda-muda adalah penuntut di beberapa buah universiti di Germany. Saya melihat ramai sekali wartawan di celah-celah keriuhan jeritan dan perhimpunan penunjuk-penunjuk perasaan ini. mereka dapat dikenali dari kad nama bertulis press dan kamera atau video kamera yang mempunyai lambang stesyen penyiaran atau syarikat akhbar tempat mereka bekerja. Saya lantas mengambil kesempatan untuk menyelit-nyelit juga di celah-celah para  penunjuk perasaan seperti mereka itu untuk mengambil gambar.
Saya berkenalan dengan Suhail, seorang gadis Mesir yang berada di tapak tunjuk perasaan itu. Saya bertanya dia, kenapa diadakan tunjuk perasaan ini. Kata Suhail, semalam (4 Februari 2011), adalah tarikh sasaran masyarakat Mesir mahu menjatuhkan  Presiden Hosni Mubarak yang berusia 82 tahun itu. Dia telah 30 tahun menerajui Mesir, namun rasuah menjadi-jadi.  Rakyat Mesir terus hidup dalam keadaan  menderita, akan tetapi  presiden dan keluarganya hidup kaya raya dan senang lenang. Tunjuk perasaan ini sekali gus telah melumpuhkan harapan  anak lelakinya, Mubarak-Gamal Mubarak  untuk menggantikan kuasa bapanya menerajui Mesir. Buat masa ini, Gamal dikatakan sedang mendapat perlindungan politik di United Kingdom.
Jika dirujuk pada pandangan Mustafa Kamal Basri, pengarang akhbar Utusan Malaysia ( boleh rujuk emel berikut  (pengarang@utusan.com.my) atau merujuk terus kepada tulisannya di dalam surat khabar Utusan Malaysia pada alamat berikut:  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2011&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia &sec=Luar_Negara &pg=lu_06.htm, kita dikhabarkan bahawa Hosni Mubarak adalah seorang pemimpin yang degil dan ego, tetapi bijak dan licik. Meskipun pada prinsipnya kuasanya telah jatuh apabila rakyat Mesir memulakan tunjuk perasaan menggulingkannya pada 25 Januari yang  lalu setelah mendapat idea daripada daripada Revolusi Jasmine di Tunisia, namun Mubarak tetap tidak tumbang, Walaupun dia berikutnya telah mendapat tekanan daripada sekutu baiknya, Amerika Syarikat, Mubarak tetap berkeras untuk mengekalkan kuasanya dan kalau dia mahu menyerahkan  kuasa  presiden yang telah dipegangnya selama 30 tahun itu, dia mahu melakukan dengan caranya yang tersendiri dan paling terhormat.
Kebijaksanaan Mubarak terpancar jelas apabila dia menyusun strategi lain bersama-sama dengan para penyokong setianya. Pada awalnya, Mubarak bersama-sama penyokong setianya telah memberi tentangan habis-habiasan kepada lebih sejuta rakyat Mesir yang berhimpun di Medan Tahrir. Apabila melihat para penunjuk perasaan itu berkeras melawan, Mubarak telah mengundurkan semua penyokongnya hinggakan medan itu hanya dipenuhi oleh para penunjuk perasaan sahaja. Sebagai bekas Pegawai Angkatan Tentera, Mubarak bijak dalam menyusun strategi ketenteraan. Lantas,  tidak semena-mena, Mubarak telah menghantar para penyokongnya dengan bantuan  pasukan tentera berkereta kebal. Akibat daripada pertembungan para  penunjuk perasaan dengan penyokong Hosni Mubarak itu, sejak daripada 25 Januari hingga hari ini, lebih daripada 300 orang telah terbunuh, manakala lebih daripada 4,000 orang pula telah tercedera.
                                                          
                                                                                                                                                                                                                                       
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          
Secara prinsipnya,  Hosni Mubarak sudah menang secara moral apabila beliau gagal digulingkan  selepas solat Jumaat 4 Februari 2011 yang lalu dalam satu perhimpunan yang dipanggil  ‘yaumul rohil’ atau hari pengunduran.  Sementelahan pula, sudah lama para penunjuk perasaan itu berkumpul di Medan Tahrir itu dan mereka sudah pun penat. Sebahagian daripada mereka sudah pulang ke rumah masing-masing. Namun kebanyakan daripada penunjuk perasaanitu  tetap rela berkampung di situ kerana jika mereka keluar dari Medan Tahrir, peluang untuk masuk ke situ semula amat tipis. Para penunjuk perasaan ini pada dasarnya rela mati untuk menggulingkan Hosni Mubarak  kerana Shaikh Yusuf al-Qardawi selaku Presiden Majlis Fatwa Dunia yang berada dalam buangan di Qatar telah memutuskan fatwanya bahawa sesiapa sahaja yang terkorban dalam penentangan ke atas Mubarak, maka matinya adalah mati syahid. Katanya: “samada kamu menjadi orang-orang yang mulia dan bahagia, atau kamu mati sebagai para syuhada’”.
 
tunjuk perasaan Mesir - kereta kebal medan tahrir1
                  
                 
          
Syaikh al-Qaradhawi melalui stesen satelit al-Jazeera pada 2 Februari 2011 telah menggesa setiap rakyat Mesir untuk menyertai “Perarakan Jutaan Umat” selepas Solat Jumaat pada 4 Februari yang lalu. Syaikh al-Qaradhawi menegaskan supaya setiap rakyat Mesir yang mampu dari segi fizikal diwajibkan oleh syarak untuk pergi ke lokasi tunjuk perasaan di Medan Tahrir. Kepada Hosni Mubarak, Syaikh al-Qaradhawi memberi peringatannya bahawa kami akan menghadapi kamu dengan doa diwaktu sahur dan dengan setiap orang yang kusut rambutnya dan berdebu tubuh badannya yang jika dia berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan memperkenankan doanya”  Beliau bahkan menambah bahawa “doa orang yang dizalimi akan diangkat oleh Allah melepasi awan dan akan dibukakan untuknya pintu-pintu langit sambil Dia berkata, “demi keagungan dan ketinggianKu, Aku akan menolongmu walau pun selepas beberapa ketika”.  Fatwa yang dikemukakan oleh Syaikh al-Qaradhawi ini adalah dilandaskan kepada hadis Rasulullah SAW, iaitu sebaik-baik orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah r.a dan seorang lelaki yang pergi kepada pemimpin yang zalim, lantas menyuruhnya melakukan makruf dan menegahnya dari kemungkaran, lantas dia dibunuh(rujuk laman rasmi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, iumsonline.net).
Menurut Suhail, fatwa itu membuatkan rakyat Mesir di merata pelosok dunia semakin yakin dan bersatu teguh untuk menentang Mubarak. Menurutnya, di mana-mana pun rakyat Mesir wujud bertebaran  di atas muka bumi ini, mereka bersatu hati untuk menjatuhkan Mubarak. Baginya, sesiapa yang menyokong Mubarak, hanya akan mendapat kemewahan dunia, tetapi amat miskin di akhirat kelak.     
                                                                                                                                                                                                                       
Justeru tidak hairanlah jika akhbar melaporkan kisah pelajar dan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir bercerita akan keganasan tunjuk perasaan di Mesir. Kata Suhail, sesetengah mereka sudah hilang kepercayaan kepada sesetengah yang lain kerana tidak pasti yang manakah pejuang sebenar atau sekadar berpura-pura bersama pejuang (penunjuk perasaan) untuk mengetahui taktik dan strategi mereka. Saya membaca di dalam Utusan Malaysia Online bahawa sebahagian pelajar pelajar Malaysia dari negeri Kedah Darul Aman telah keluar dari Mesir ke Jeddah. Sementara, Yayasan Sabah telah menerbangkan ke tanah air semua pelajar Yayasan Sabah yang berada di Mesir. Petikan gambar daripada  Utusan Online berikut menggambarkan kegembiraan para pelajar Malaysia yang  telah diterbangkan  pulang dengan selamat ke tanah air.
Selepas berbual dengan Suhail, pada fikiran saya, rakyat dan pelajar Malaysia memang wajar dibawa pulang. Fatwa Syaikh al-Qaradhawi pasti akan menyebabkan revolusi berdarah untuk menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak berlanjutan. Hal ini demikian kerana Mubarak yang bijak dengan strategi ketenteraan telah menghantar orang kanannya, Omar dan Shafiq supaya mengadakan rundingan dengan ketua-ketua pembangkang, termasuk dengan ketua pembangkang paling kuat Parti Ikhwan Muslimin, iaitu  Mohamed ElBaradei. Daripada kawan saya yang punya dua orang anak lelaki dan perempuan yang sedang mengikuti kursus   kedoktoran di Mesir, hari-hari yang dilaluinya penuh dengan airmata  apabila mendapat khabar  bahawa asrama yang diduduki oleh anak perempuannya diceroboh oleh sekumpulan lelaki berparang. Namun, asrama tempat anak lelakinya tinggal, jauh lebih selamat sebab ada pengawal yang di tempatkan untuk berkawal 24 jam. Dia berdoa agar kedua-dua orang anaknya dapat dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia dengan selamat.
Meskipun kini Kaherah digambarkan oleh CNN  kini semakin pulih kerana  banyak kedai, syarikat  perniagaan, restoran dan bank telah mula beroperasi semula dan jalan raya juga telah  kembali sibuk dengan  orang ramai yang meneruskan aktiviti rutin mereka, namun semangat untuk menjatuhkan Hosni Mubarak tetap masih membara. Gambar-gambar yang saya rakamkan ketika tunjuk perasaan di Dom Romer di bawah ini lebih pandai bercerita tentang hal ini. Saya dengar, tunjuk perasaan yang serupa berlaku di Hyde Park, Oxford Street, London. Mungkin juga, tunjuk perasaan rakyat Mesir berlaku juga di tempat-tempat lain di dunia.
                 Situasi ketika kebanyakan pelajar universiti dari Mesir menyusun strategi tunjuk perasaan mereka
Poster-poster dalam bahasa German
Kebanyakan gadis Mesir memakai poster di belakang mereka yang menggambarkan rakyat Mesir yang cedera dan terbunuh di Kaherah
Sungguh ramai orang Mesir tinggal di Kota Frankfurt ruoa-rupanya
Lori ini diubahsuaikan untuk dijadikan pentas ucapan para penunjuk perasaan. Ramai kanak-kanak kecil di belakang pentas ini
Boleh cari dan beli tangan berwarna merah ini untuk menjayakan gerakan “1Malaysia”
Melihat wajah mereka, kita mungkin menyangka mereka orang Germany. Sukar sekali untuk dikenal pasti, kecuali kalau mereka bertudung.
Gadis ini sebenarnya sedang ditemuramah oleh wartawan Germany
Dia begitu girang ketika saya minta bergambar dengan porter di  belakang badannya. Bukan tangan saya yang memagang kepala lelaki yang berdarah dalam poster itu tau!
Tangan saya yang pakai sarung tangan kelabu itu. Ramai orang dah salah pandang…hahahah!

No comments:

Post a Comment